top of page
  • Sejarah awal kemunculan agama Hindu sukar untuk ditentukan kerana agama ini dianggap bersifat agama semulajadi. Hinduisme tidak mempunyai pengasas dan tidak memiliki institusi agama yang bersifat pusat untuk mengetuai segala pengikut agama ini di seluruh dunia. Kepercayaan dan ajaran Hindu diwarisi secara turun-temurun. Nama asal agama Hindu ialah Sanata Dharma bererti prinsip ataupun peraturan kerohanian yang kekal abadi seperti juga sifat Tuhan yang kekal abadi.

  • Bukti terawal mengenai agama Hindu ditemui dalam tamadun Lembah Sungai Indus yang berusia lebih kurang 4 000 tahun. Penemuan bukti-bukti arkeologi di Lembah Sungai Indus seperti :

    • patung-patung (yang menandakan konsep Dewi ibu)

    • sebuah mohor (yang menandakan penyembahan Dewa Shiva yang awal)

    • objek-objek yang berbentuk seolah-olah seperti Shiva-Linga dan kolam permandian yang digunakan untuk tujuan kerohanian.


(i) Tahap-tahap Perkembangan Kerohanian

Dalam perkembangan pemikiran orang-orang Indo-Arya terdapat empat peringkat yang nyata iaitu Politeisme, Henoteisme, Monoteisme dan Monisme.

 

  • Peringkat Politeisme memperlihatkan orang Indo-Arya memuja unsur- unsur alam semulajadi seperti api, angin, pokok, sungai dan sebagainya. Mereka berfikiran bahawa semua kuasa ini patut digembirakan dan dipuja dengan pengorbanan dan penyembahan. Biasanya upacara-upacara ini diiringi dengan pembacaan mazmur-mazmur daripada kitab-kitab suci Veda. Proses mempersonifikasikan unsur-unsur alam ini berlaku dan kuasa-kuasa ini dianggap sebagai dewa atau dewi serta memiliki nama-nama seperti Agni, Usas, Indra, Rudra, Vayu dan sebagainya.

  • Peringkat Henoteisme memperlihatkan kepercayaan politeisme semula jadi mengalami proses perubahan dan wujud fikiran bahawa pelbagai dewa-dewi memiliki beberapa sifat yang sama. Ini menjadi sumber bagi orang Indo-Arya untuk memperkenalkan dewa Visvakarman (dewa pencipta) dan Prajapati (dewa yang menjadi ketua bagi semua makhluk di dunia). Mereka mengetahui bahawa walaupun terdapat beberapa dewa-dewi yang dipuja dan disembah, semua ini merupakan beberapa aspek kepada satu kuasa yang tunggal. Apabila seseorang memuja sesuatu dewa-dewi lain dianggap sebagai manifestasi dewa atau dewi yang sedang dipuja olehnya. Kepercayaan seperti ini disifatkan sebagai henoteisme.

  • Peringkat Monoteisme merupakan kepercayaan bahawa terdapat satu kuasa agung yang bertanggungjawab menggerakkan duniawi. Konsep ini mulai muncul dalam pemikiran agama orang Indo-Arya dan kuasa ini diberi sifat-sifat penciptaan, pemeliharaan, dan pemusnahan, dan dianggap sebagai Tuhan. Untuk mewakili ketiga-tiga sifat Tuhan ini, mereka mencipta dewa Brahma (Dewa Pencipta), dewa Vishnu (Dewa Pelindung/Pemelihara) dan dewa Shiva (Dewa Pemusnah). Pemikiran monoteisme ini menjadi semakin penting dalam kepercayaan agama orang Indo-Arya.​

  • Peringkat Monisme merupakan pemikiran agama orang India tidak terhenti di peringkat monoteisme. Mereka maju selangkah lagi dengan memperkenalkan monisme. Monisme menyatakan bahawa segala sesuatu di dunia ini berasal dari satu sumber yang kewujudannya boleh dirasai di mana-mana sahaja. Sumber itu tidak bersifat pusat sebaliknya tersebar ke seluruh dunia.


(ii) Upacara Pengorbanan

 

Upacara pengorbanan sebagai amalan agama mempunyai kedudukan utama dalam kultus Indo-Arya. Pengorbanan atau yajna dianggap sebagai amalan agama yang terbaik kerana manusia dapat menggembirakan dewa-dewi. Biasanya pengorbanan ditujukan kepada dewa-dewi ataupun pada anasir-anasir jahat seperti asura atau raksasa dengan tujuan yang tertentu, seperti untuk mendapatkan faedah duniawi.

Dua jenis pengorbanan yang diamalkan oleh orang-orang Indo-Arya ialah :

  • Grhya karmani - upacara pengorbanan di rumah dan mahakratu dan srauta bermakna upacara pengorbanan umum. Grhya karmani dijalankan oleh ketua keluarga (grhapati) dengan bantuan isterinya. Upacara ini menandakan setiap peringkat dalam kehidupan atau samskara seperti garbhadana (apabila seseorang wanita hamil), pumsavana (pada bulan ketiga kehamilan, bagi mendapat anak lelaki) dan sebagainya.

  • Mahakratu dijalankan pada waktu- waktu tertentu oleh yajamana raja-raja seperti orang-orang kaya dan ketua-ketua yang menanggung segala perbelanjaan. Yajamana memerlukan perkhidmatan beberapa ratus orang pedanda untuk menjalankan upacara seperti ini. Lazimnya upacara pengorbanan seperti ini diadakan untuk kepentingan diri sendiri dan bukannya untuk kebaikan negara walaupun raja yang menjalankannya. Jenis upacara-upacara pengorbanan yang dianggap sebagai mahakratu termasuklah vajapeya (bertujuan untuk kembali muda), rajasuya (untuk menerima sifat-sifat kedewaan), asvamedha (pengorbanan kuda untuk mengagungkan kuasa seseorang raja) dan sebagainya.


(iii) Falsafah Agama Vedik

Falsafah Vedik mementingkan lima konsep yang saling berkaitan antara satu sama lain, iaitu Brahman, Atman, Karma, Samsara dan Moksha.

  • Brahman menandakan Tuhan yang dibincangkan sebagai satu prinsip yang menyelubungi segala-galanya (roh duniawi).

  • Atman ialah roh individu dalam badan manusia yang bertujuan untuk diserap ke dalam roh duniawi oleh Brahman.

  • Karma merupakan perbuatan, pemikiran dan pertuturan yang dilakukan oleh individu dalam sesuatu kehidupan dan akibat yang akan dialami dalam kehidupan akan datang.

  • Samsara ialah lingkaran kelahiran dan kematian yang dilalui oleh Atman.

  • Moksha ialah pelepasan daripada kehidupan duniawi dan penyatuan dengan Brahman. Jadi tujuan setiap Atman adalah untuk membebaskan diri daripada karma dan mencapai moksha.

AGAMA-AGAMA HETERODOKS

Agama-agama seperti Buddha dan Jaina disebut sebab tidak menerima kewibawaan kitab Veda dan tidak mengakui kewujudan Tuhan. Tetapi ajaran- ajaran agama tadi menunjukkan terdapat banyak persamaan dengan idea-idea yang terkandung dalam karya-karya Upanishad. Kedua-dua agama ini muncul pada akhir Zaman Vedik di India.

(i) Buddhisme
Pengasas doktrin Buddhisme ini ialah Siddhartha Gautama Buddha. Siddhartha ialah nama yang berikan oleh ibu bapanya manakala Gautama pula ialah nama keluarga (gotra). Buddha pula menandakan seseorang manusia itu telah mencapai taraf kesedaran kerohanian yang sempurna.

 

  • Ajaran Agama Buddha

    • Ajaran Agama Buddha merupakan ajaran-ajaran psikologi dan etika yang berhubung kait dengan kehidupan. Ajaran-ajaran metafizika dalam Buddhisme adalah tambahan (Ahhidhamma) kemudian kepada ajaran asal Buddha (Dhamma).

 

  • Ajaran Buddha Tentang Dhamma

    • Intisari ajaran Dhamma dirangkumkan dalam Empat Kebenaran Yang Mulia iaitu :

      • Dukka (penderitaan)

      • Samudaya (punca atau sebab membawa penderitaan)

      • Nirodha (keinginan, cinta, nafsu, gila kekayaan dan sebagainya merupakan Samudaya yang membawa kepada penderitaan)

      • Marga (jalan ataupun cara untuk memadamkan api keinginan)

  • Ajaran Buddha mengesyorkan lapan cara atau jalan iaitu :​

    • Tujuan atau cita-cita yang betul 

    • Pertuturan yang baik

    • Perbuatan yang betul

    • Hidup yang betul

    • Usaha yang benar

    • Fkiran yang betul

    • Renungan yang baik.

  • Kelapan-lapan jalan hidup ini boleh dirangkumkan dalam tiga prinsip utama :

    • Kepercayaan (pada Buddha sebagai guru, yakin pada Buddha Dhamma bagi mencapai nirwana)

    • Berkelakuan seperti yang ditentukan oleh Sangha

    • Melakukan renungan yang baik menurut Dhamma bagi mencapai nirwana.

 

  • Konsep Ahimsa

    • Ahimsa bererti menolak penyeksaan (himsa) serta pembunuhan, walaupun untuk mengisi perut, seorang itu tidak boleh membunuh binatang. Ini menjadi suatu konsep yang penting dalam ajaran agama Buddha. Boleh dikatakan konsep ini merupakan sumbangan Buddha kepada dunia kerohanian.


(ii) Jainisme
Agama Jaina diperkenalkan oleh Mahavira (Vardhamana) yang mempunyai banyak persamaan dengan ajaran-ajaran Upanishad dan Buddhisme. Agama ini mementingkan undang-undang sebab dan akibat yang dipercayai menentukan kelahiran semula roh-roh individu. Ini menunjukkan konsep karma dan samsara yangterdapat dalam Upanishad amat penting kepada agama Jaina.

 

  • Ajaran Mahavira ini mengandungi sembilan prinsip atau nava-tattva iaitu :

    • Jiva (roh terdapat dalam semua benda, yang bergerak dan bernyawa termasuk tumbuhan dan ia adalah kekal abadi)

    • Ajiva (benda-benda yang tidak bernyawa)

    • Asmva (daya penarik)

    • Papa karma (dosa, hasil perbuatan yang jahat)

    • Punya karma (pahala, hasil perbuatan baik)

    • Bandha (ikatan roh dengan keinginan dan kejahilan)

    • Samvara (menahan pengaliran karma)

    • Nirjara (penghapusan karma)

    • Siddhi (pelepasan dari kelahiran semula).

  • Papa karma dan punya karma akan menentukan kelahiran semula roh. Perbuatan baik, disiplin mental dan moral, meditasi dan kelakuan baik membantu manusia mencapai samvara. Seseorang yang dapat samvara dan mencapai siddhi dianggap sebagai wira yang menang dalam perjuangannya dan manusia ini disebutjina (perwira).

AGAMA DAN FALSAFAH

SISTEM FALSAFAH INDIA

Sistem falsafah India boleh dibahagikan kepada enam aliran (sekolah) falsafah iaitu Nyaya, Vaisheshika, Sankhya, Yoga, Mimamsa dan Vedanta. Sekolah-sekolah falsafah ini menerima bulat-bulat ajaran daripada kitab-kitab Veda. Oleh yang demikian, aliran-aliran falsafah ini juga dikenali sebagai astika darshana.

(i) Nyaya

​

  • Ciri-ciri sekolah falsafah ini dikesan dalam kitab-kitab Veda dan Upanishad. Pendukung falsafah Nyaya ialah Gautama dan karya beliau berjudul Nyaya Sutra yang bertarikh kurun ke-2SM menjadi teks asas aliran falsafah ini.

  • Nyaya bermaksud pertimbangan logik dan menurut falsafah ini terdapat empat sumber ilmu pengetahuan iaitu

    • Persepsi (pratyaksha)

    • Inferens (anumana)

    • Analogi/perbandingan (upamana)

    • Testimoni/pembuktian (shabda).

  • Nyaya menekankan empat faktor dalam mendapatkan ilmu pengetahuan iaitu :

    • Pramata (subjek yang diketahui)

    • Prameya (objek pengetahuan)

    • Pramana (cara memperolehi pengetahuan yang sah)

    • Prama (engetahuan yang sah)

  • Falsafah Nyaya mengutamakan doktrin teori pengetahuan serta menerima akan kewujudan Tuhan. Dunia ialah sesuatu entiti benar, bukan rekaan ataupun imaginasi minda. Hidup ini pula bertujuan untuk membawa pengetahuan/kesedaran kepada jiwa. Tuhan dikatakan sebagai bersifat tunggal dan mutlak serta kekal abadi, menjalankan fungsi penciptaan, pemeliharaan dan pembinasaan disertai penjanaan semula tenaga.


(ii) Vaisheshika
 

  • Sekolah falsafah ini dikenali sebagai Vaisheshika darshana. Pengasas sistem falsafah ini ialah Kanada (kurun ke-3SM) dan karyanya berjudul Vaisheshika Sutra menjadi sumber asas falsafah ini.

  • Vaisheshika dan Nyaya merupakan dua sistem falsafah yang saling berkaitan dan kedua-duanya berkongsi pandangan bahawa kejahilan merupakan sumber bagi segala penderitaan. Kebebasan hanya dapat dicapai menerusi pengetahuan yang betul terhadap kebenaran dan kedua- dua sistem falsafah ini turut menekankan pentingnya pembebasan dalam seseorang individu.

  • Vaisheshika lebih menonjolkan minat dalam bidang kosmologi. Semua benda dikatakan diperbuat daripada empat jenis paramanu (atom) iaitu bumi, air, api dan udara. Gabungan empat jenis atom tadi dalam ukuran yang berbeza membentuk pelbagai benda dan bahan.

  • Terdapat lima unsur yang terlibat dalam pembentukan dunia iaitu :

    • Dik (ruang)

    • Kala (masa)

    • Akasha (eter)

    • Manas (minda)

    • Atma (jiwa)


(iii) Sankhya
 

  • Sankhya dipercayai merupakan sistem falsafah terawal dalam tamadun India. Sejarah kelahirannya melampaui zaman Buddha. Falsafah ini didukung dan dipelopori oleh Kapila dan beliau dipercayai hidup pada kurun ke-7SM. Oleh itu sejarah permulaan falsafah Sankhya turut digariskan sejak kurun ke-7SM. Kapila menghasilkan karya yang merupakan teks asas sekolah falsafah ini iaitu Sankhya Sutra. Pengaruh falsafah ini dapat dikesan dalam kebanyakan sekolah falsafah di India. Sankhya-Karika ciptaan Isvarakrisna merupakan sebuah lagi teks berwibawa bagi sistem falsafah Sankhya.

  • Sankhya bererti bilangan iaitu falsafah ini menghuraikan mengenai realiti dalam bilangan yang terhad dan Sankhya juga bererti pengetahuan yang sempurna. 

  • Falsafah ini menyatakan tentang dua realiti mutlak dalam alam semesta iaitu :

    • Purusha iaitu jiwa yang bilangannya tidak terkira

    • Prakriti iaitu jirim yang sedia wujud sejak dari awal lagi. Prakriti dikatakan bahan asas bagi perkembangan dunia dan perkembangan ini menjadi kerana adanya purusha.

  • Oleh itu sejarah dunia merupakan sejarah perkembangan yang diakibatkan oleh prakriti dan purusha. Kitaran kematian dan kelahiran akan terhapus jika pengetahuan mengenai perbezaan antara prakriti dan purusha dicapai. Untuk ini inteiek (buddhi) diperlukan dan kebebasan kerohanian pula dicapai menerusi pengetahuan.

  • Sumbangan penting sistem falsafah Sankhya ialah konsep triguna (tiga sifat) alam semesta., iaitu :

    • Sattva iaitu kecerdasan merupakan sesuatu yang membawa kepada keharmonian, kemahiran, ketelitian, kesucian dan keterangan

    • Rajas iaitu tenaga merupakan sesuatu yang mengakibatkan aktiviti, gerakan dan keghairahan

    • Jamas iaitu kegelapan merupakan sesuatu yang membawa kejahilan, kekasaran, ketidakseimbangan, kemalasan dan ketidakaktifan.


(iv) Yoga
 

  • Sistem Yoga mempunyai idea falsafah yang sama dengan sistem Sankhya dalam teori pengetahuan dan metafizika, kecuali sistem Yoga memperkenalkan konsep Tuhan mutlak dalam sistem falsafahnya. Sistem Sankhya tidak membicarakan mengenai hal-ehwal konsep Tuhan, tetapi sistem Yoga memperjelaskan realiti Tuhan.

  • Pendukung bagi sistem ini ialah Patanjali yang mencipta teks Yoga Sutra (Kurun ke-2SM). Teks ini merupakan sebuah karya agung yang berwibawa dalam aliran falsafah Yoga.

  • Penyatuan roh individu dengan roh duniawi (cosmic soul) menjadi usaha atau pun tujuan kehidupan ini.

  • Dalam amalan, disiplin sistem Yoga mengandungi latihan minda dan badan fizikal. Ini termasuklah latihan mengawal serta mematikan fungsi anggota badan, pancaindera, minda, inteiek dan ego tanpa menghilangkan kesedaran diri iaitu pengalaman jiwa. Pencapaian ini akan membuktikan bahawa jiwa adalah lebih unggul daripada anggota badan, minda yang kompleks serta deria inteiek. Ini membawa kepada pengetahuan bahawa jiwa itu berbeza daripada minda dan badan fizikal.

  • Sistem Yoga menolak dakwaan bahawa moksha (kesempurnaan kerohanian) hanya dapat dicapai melalui pengetahuan. Sebaliknya sistem ini percaya bahawa disiplin minda dan badan fizikal dapat membantu dalam proses pencapaian moksha. Oleh itu sistem ini mencadangkan meditasi (renungan mendalam) sebagai salah satu praktikal untuk menyucikan minda dan mencapai moksha.


(v) Mimamsa
 

  • Mimamsa bererti siasatan.

  • Objektif utama sistem ini ialah menegakkan kewibawaan kitab-kitab Veda serta aspek ritualnya.

  • Sejarah falsafah ini berusia sejak tahun 1500SM, iaitu bermula sejak Zaman Veda Awal. Tetapi teks yang mendukung falsafah Mimamsa secara sistematik hanya dicipta pada tahun 400SM berjudul Purva-mimamsa Sutra, ciptaan Jaimini. Aliran ini tidak bersifat spekulatif, tetapi lebih bercorak praktikal. Kepentingan sistem falsafah ini terletak pada sistem tafsiran kitab-kitab Veda.


(vi) Vedanta
 

  • Sistem falsafah Vedanta merupakan aliran falsafah yang paling berpengaruh dan pengaruhnya masih berterusan dalam kehidupan dan amalan orang Hindu.

  • Turut dikenali sebagai Uttara Mimamsa kerana falsafahnya dibentuk berteraskan karya-karya Upanishad.

  • Doktrin Brahman (Tuhan) menjadi pokok persoalan utama dalam sistem falsafah ini.

  • Pelopor falsafah ini ialah Badarayana yang mencipta karya berjudul Brahma Sutra (tahun 400SM) dan teks ini turut dikenali sebagai Vedanta Sutra. Selain karya-karya Upanishad dan Brahma Sutra, karya Bhagavad Gita turut menjadi teks asas sistem falsafah ini.

  • Pendukung falsafah Vedanta yang terkenal ialah Sankara (kurun ke-8 Masihi), orang India Selatan.

  • Terdapat dua aliran utama dalam sistem Vedanta iaitu :

    • Advaita (non-dualistic)

    • Ddvaita (dualistic).

  • Sankara mendukung aliran advaita, yang menyatakan atman (jiwa) dan Brahman (Tuhan) bukanlah dua entiti yang berbeza. Sankara menyatakan bahawa dunia ini bukanlah ilusi semata-mata, sebaliknya ialah manifestasi Brahman itu sendiri. Hanya mereka yang bijaksana dapat melihat kebenaran ini.

  • Ahli-ahli falsafah Vedanta kemudian seperti Ramanuja (tahun 1017-113) dan Madhva (tahun 1199-1278) pula membawa tafsiran yang berbeza dengan Sankara dalam hal Brahman dan Atman.

    • Ramanuja menyatakan bahawa dunia, Atman dan Brahman adalah berlainan tetapi tidak terpisah. Jiwa dan dunia adalah umpama badan Tuhan (Brahman). Maka itu, segala-galanya terdapat pada Brahman, tetapi jiwa individu adalah berbeza daripada Brahman. Aliran Ramanuja pula disebut Visistadvaita-Vedanta.

    • Madhva percaya akan Dvaita (dualisme), Brahman dan Atman, dan beliau sebenarnya turut menerima kewujudan dunia. Brahman/Tuhan (Vishnu) adalah kuasa tertinggi dan sempurna. Terdapat jiwa individu yang tidak terkira dan jiwa bergantung pada Brahman. Tuhan hanya dapat disedari melalui kitab-kitab Veda. Persepsi, inferens dan testimoni lisan adalah tiga cara untuk mengetahui kebenaran. Aliran Madhva pula dikenali sebagai Dvaita- Vedanta.

bottom of page