top of page

PURUSARTHA

Purusartha bermaksud empat objektif mulia yang harus diamalkan oleh umat manusia.

  1. Aram/Dharma
    Diperoleh melalui pendidikan yang bersifat kerohanian. Aram hendak ditanam pada hati seseorang sejak tahap brahmacharya. Dharma merupakan suatu peraturan moral dan etika yang bersifat kerohanian, contohnya melanggar etika kerja dianggap sebagai pelanggaran atau ingkar. Menyedari serta memiliki sifat-sifat dharma merupakan objektif pertama kehidupan ini.

  2. Porul/Artha
    Porul/artha bermaksud kekayaan. Seseorang yang sudah memperolehi ilmu atau kemahiran yang mencukupi hendaklah mencari pekerjaan dan mengumpulkan harta. Namun begitu, objektif mulai pertama iaitu aram yang sudah ada pada diri hendaklah menjadi asas dalam pengumpulan kekayaan dan hendaklah diperolehi melalui cara yang halal.

  3. Inbam/Kama
    Inbam/kama iaitu orang yang mengumpulkan kekayaan secara halal berhak untuk menikmati kekayaan tersebut dan berlandaskan lunas-lunas dharma. Isteri, anak, saudara mara, wargatua, orang alim dan sebagainya hendak dipelihara dengan kekayaan yang dimiliki. Perbelanjaan yang melebihi pendapatan pula dianggap sebagai perbuatan yang melanggar dharma. Sebahagian daripada kekayaan yang dikumpul hendaklah digunakan untuk menjalankan atau pun menyokong kerja-kerja amal.

  4. Vidu/Moksha
    Objektif keempat mulia, Vidu/moksha bermaksud pencapaian kebebasan kerohanian, iaitu mencapai kesempurnaan kesedaran kerohanian dan terlepas daripada lingkaran kelahiran serta kematian. Kegembiraan kerohanian dianggap sesuatu yang berkekalan lagi maha besar. Ini dapat dicapai pada tahap sannyasa mahupun sebelum itu.


Sekiranya seseorang itu melaksanakan tanggungjawabnya menurut ashrama dharma serta mengecapi aram/dharma, porul/artha dan inban/kama maka moksha/vidu akan dapat dicapai. Pelaksanaan tanggungjawab tanpa mementingkan diri akan membawa kepada moksha. Sembahyang, khidmat bakti serta keimanan yang kuat akan turut membawa moksha. Pertapakan yang diseitai dengan ilmu yang suci iaitu ilmu kerohanian juga dapat membawa moksha. Moksha merupakan pencapaian yang amat dicita-citakan oleh orang beragama Hindu.

Sebagai kesimpulannya, ashrama dharma dan purusartha menjadi teras keluarga dalam masyarakat India.

bottom of page